Ibu lega, bantuan peralatan sekolah anak dapat ringankan beban

SEREMBAN: Keprihatinan pelbagai pihak dalam menghulurkan sumbangan bagi penyediaan peralatan persekolahan bagi sesi baharu persekolahan akan datang telah memberikan kelegaan terutama kepada golongan ibu bapa yang memerlukan bantuan.

Bagi seorang ibu dari Sepang, Selangor, Norshuhada Ab Rahim, 37, berkata, tanpa bantuan yang diberikan, sukar untuk dia dan suami menyediakan kelengkapan yang sempurna buat empat orang anak yang masih bersekolah termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) yang berusia 10 tahun.

“Sekurang-kurangnya bantuan yang diterima dapat meringankan beban keluarga, kalau tidak ada bantuan ini, saya tidak boleh beli peralatan sekolah baru buat anak-anak, pakai mana yang ada sahaja berikutan kos yang semakin meningkat.

“Apatah lagi pendapatan suami sebagai polis bantuan pula sekitar RM2,000 sahaja, sekadar cukup-cukup sahaja,” katanya ketika ditemui pada Program MYAirportCARES Ceria Kembali ke Sekolah di Nilai di sini semalam.

Pada program itu, seramai 150 orang murid tahun satu sehingga tahun enam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Warisan, Sepang, Selangor menerima sumbangan berupa barangan kelengkapan persekolahan serta kad pintar tanpa tunai. 

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Mohamed Rastam Shahrom berkata, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab korporat pihaknya bagi memperkasakan pendidikan komuniti setempat.

“Ia bertujuan untuk membantu meringankan bebanan ibu bapa sekali gus menaikkan semangat pelajar dalam menimba ilmu dengan keadaan fizikal yang rapi beserta keperluan persekolahan mencukupi,” katanya.

Jelas beliau, sejak tahun 2018, program sumbangan itu telah memberikan manfaat kepada hampir 3,000 orang pelajar sekolah rendah daripada kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Penerima-penerima sumbangan ini dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan oleh Malaysia Airports dengan kerjasama Yayasan MyKasih yang melibatkan pelajar dalam kategori B40 dari daerah Sepang, iaitu daerah di mana lapangan terbang utama kendalian Malaysia Airports iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beroperasi,” katanya.