Kuala Lumpur: Seramai 300,000 isi rumah golongan miskin bandar akan diberikan bantuan barangan dapur secara tanpa tunai melalui MyKad menerusi Program PRIHATIN Kasih membabitkan peruntukan RM100 juta.
Menerusi program itu, bantuan RM100 diberikan secara bulanan selama tiga bulan dan boleh digunakan untuk membeli barangan makanan asas seperti makanan dalam tin, susu bayi, beras, minyak masak, telur dan sebagainya berdasarkan pilihan isi rumah.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan semalam, memaklumkan projek perintis program bantuan itu sudah dimulakan 1 Julai lalu kepada golongan miskin bandar di Selangor dan Kuala Lumpur berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“PRIHATIN Kasih dengan peruntukan RM100 juta ini diumumkan sebagai salah satu pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi membantu kos sara hidup golongan miskin bandar.
“Program bantuan barangan dapur ini disalurkan secara tanpa tunai (cashless) melalui penggunaan MyKad. Pemilihan penerima bantuan dilakukan dengan mengambil kira pangkalan data dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan e-Kasih yang seterusnya disemak silang dengan pengkalan data Bantuan Prihatin Rakyat (BPR),” kata kenyataan itu.
Program PRIHATIN Kasih membabitkan lebih 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco) serta kedai-kedai runcit.
Fasa Pertama yang sudah dilaksanakan pada 1 Julai lalu di Selangor dan Kuala Lumpur menunjukkan maklum balas positif daripada penerima.
Fasa selanjutnya akan dilancarkan di Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Melaka dan Terengganu pada Ogos ini, sebelum dikembangkan keNegeri Sembilan, Labuan, Pahang, Putrajaya, Sabah dan Sarawak pada September dan Oktober depan.
Penerima PRIHATIN Kasih yang layak akan menerima mesej SMS daripada MyKasih untuk mengesahkan status mereka sebagai penerima manfaat di bawah program ini, berserta tarikh dan masa untuk sesi taklimat orientasi di kedai runcit yang terdekat.
Maklumat lanjut boleh didapati di http://www.mykasih.com.my/site/prihatin-kasih/.