KUALA LUMPUR 10 April – Program bantuan kepada keluarga berpendapatan bawah RM1,000, MyKasih akan menggunakan MyKad sebagai pengganti wang tunai untuk penyaluran bantuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali berkata, penambahan aplikasi MyKad untuk penambahbaikan taraf hidup akan digunakan sepenuhnya untuk memastikan kebajikan masyarakat terbela.
”Kita sedia maklum setiap individu mempunyai MyKad. Program MyKasih menggunakan sepenuhnya aplikasi di dalam MyKad dalam penyaluran bantuan kepada keluarga susah yang memerlukan sumbangan.
”Mereka hanya perlu menunjukkan MyKad serta memberikan nombor pin di mana-mana premis seperti kedai runcit yang mengambil bahagian selepas mengambil barangan runcit yang diperlukan sebagai bayaran,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas melancarkan program MyKasih di sini hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 25 keluarga yang menjadi perintis program itu turut hadir dan menerima bantuan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit.
Turut hadir Pengerusi Dialog Group Bhd., Ngau Boon Keat dan Pengarah Projek MyKad, Jabatan Pendaftaran Negara, Siti Rohani Muhamad Yusup.
Program MyKasih merupakan projek anjuran beberapa NGO sekitar Selangor untuk membeli barangan keperluan rumah.
Keluarga yang terpilih akan diberikan nombor pin dan perlu menyerahkan MyKad mereka di premis berdaftar untuk mendapatkan bantuan sebanyak RM80 sebulan.
Sebagai perintis, 25 keluarga di sekitar Selayang telah terpilih dan 40 lagi keluarga akan dipilih dalam masa terdekat untuk program itu.
Tambah Badlisham, sehingga kini, lebih 300 aplikasi berbeza telah diwujudkan di dalam MyKad oleh pelbagai NGO untuk pelbagai tujuan yang memudahkan kehidupan seharian.
Selain itu katanya, tujuh lagi aplikasi utama kerajaan termasuk lesen memandu dan pasport telah digunapakai di dalam MyKad sejak ia diperkenalkan 10 tahun dahulu.
”Lebih 300 aplikasi telah dimasukkan di dalam MyKad dan ia semakin bertambah dari tahun ke tahun. Kita mahu MyKad digunakan sepenuhnya untuk kemudahan rakyat.
”Kita mengutamakan rakyat dan mahu mereka berasa mudah apabila berurusan dengan kerajaan,” katanya.
Sumber: Utusan Online