KUALA LUMPUR – Program PRIHATIN Kasih dengan peruntukan RM100 juta bagi membantu kos sara hidup bagi golongan miskin bandar.
Program bantuan barangan dapur itu disalurkan secara tanpa tunai atau cashless melalui penggunaan MyKad dan akan memanfaatkan 300,000 isi rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara.
Keluarga yang menerima PRIHATIN Kasih telah dipilih daripada keluarga miskin bandar, dengan mengambil kira pangkalan data dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan e-Kasih yang seterusnya disemak silang dengan pengkalan data BPR, kata satu kenyataan Kementerian Kewangan hari ini.
PRIHATIN Kasih melibatkan bantuan bulanan sebanyak RM100 untuk tiga bulan yang boleh digunakan untuk pembelian barangan makanan asas seperti makanan dalam tin, susu bayi, beras, minyak masak, telur, dan sebagainya berdasarkan pilihan isi rumah Program PRIHATIN Kasih ini melibatkan lebih daripada 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco) serta kedai-kedai runcit.
Fasa Pertama yang telah dilaksanakan bermula pada 1 Julai 2021 di Selangor dan Kuala Lumpur menunjukkan maklumbalas positif dari penerima.
Fasa selanjutnya akan dilancarkan di Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, perlis, Perak, Melaka dan Terengganu pada Ogos manakala Negeri Sembilan, Labuan, Pahang, Putrajaya, Sabah dan Sarawak pada September hingga Oktober ini.
Penerima PRIHATIN Kasih yang layak akan menerima SMS dari MyKasih untuk mengesahkan status mereka sebagai penerima manfaat di bawah program ini beserta tarikh dan masa untuk sesi taklimat orientasi di kedai runcit yang terdekat.
Maklumat lanjut boleh didapati di http://www.mykasih.com.my/site/prihatin-kasih/