Kuala Lumpur: Peruntukan RM300,000 untuk setiap Ahli Parlimen termasuk dari parti pembangkang sudah disalurkan sejak 1 Julai lalu.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, peruntukan berkenaan termasuk di bawah program Bakul Makanan Nasional berjumlah RM80 juta di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
“Peruntukan ini diberikan kepada Ahli Parlimen untuk memudahkan penyaluran bantuan makanan kepada penduduk setempat.
“Peruntukan ini telah disalurkan kepada semua ahli Parlimen bermula 1 Julai lalu. Bagi kawasan Parlimen Gerik dan Batu Sapi, peruntukan ini akan disalurkan melalui Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik dan Majlis Perbandaran Sandakan.
“Baki selebihnya adalah untuk pengagihan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.
Di bawah inisiatif Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) pula sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi Program Bakul Makanan.
Menurutnya, MoF turut melaksanakan Program Prihatin Kasih yang menyalurkan bantuan barangan dapur kepada golongan miskin bandar sejak 1 Julai 2021 di Selangor dan Kuala Lumpur berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Prihatin Kasih dengan peruntukan RM100 juta ini telah diumumkan sebagai antara langkah pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), bagi membantu kos sara hidup golongan miskin bandar.
“Program bantuan barangan dapur ini disalurkan secara tanpa tunai melalui penggunaan MyKad dan akan memanfaatkan 300,000 isi rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara.
“Keluarga yang menerima Prihatin Kasih telah dipilih daripada keluarga miskin bandar, dengan mengambil kira pangkalan data dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan e-Kasih yang seterusnya disemak silang dengan pengkalan data Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
“Ia membabitkan bantuan bulanan sebanyak RM100 untuk tiga bulan yang boleh digunakan bagi pembelian barangan makanan asas seperti makanan dalam tin, susu bayi, beras, minyak masak atau telur berdasarkan pilihan isi
rumah,” katanya.
Menurutnya, inisiatif ini membabitkan lebih 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco) serta kedai-kedai runcit.
“Fasa Pertama yang telah dilaksanakan bermula pada 1 Julai lalu di Selangor dan Kuala Lumpur menunjukkan maklum balas positif dari penerima.
“Fasa selanjutnya membabitkan Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Melaka dan Terengganu akan dilaksanakan pada Ogos.
“Manakala, bagi Negeri Sembilan, Labuan, Pahang, Putrajaya, Sabah dan Sarawak akan diadakan dari September hingga Oktober 2021,” katanya.
Menurutnya, penerima Prihatin Kasih yang layak akan menerima SMS dari MyKasih untuk mengesahkan status mereka sebagai penerima manfaat di bawah program ini, beserta tarikh dan masa untuk sesi taklimat orientasi di kedai runcit terdekat.
Maklumat lanjut boleh didapati di http://www.mykasih.com.my/site/prihatin-kasih/
Selain itu, rakyat yang memerlukan juga boleh memanfaatkan program agihan makanan yang dikelolakan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat; Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Program Gerobok Rezeki).