Kuala Nerus: Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Terengganu di Kompleks Sukan Negeri, di sini, memberi peluang kepada murid Orang Asli dari suku Semaq Beri untuk menunjukkan kehandalan mereka mengendalikan peralatan robotik.
Pemangku Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Insan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Ismail Surip berkata, penyertaan tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pergam, Kemaman itu memupuk keyakinan mereka untuk berhadapan orang ramai.
“Selain itu, ia juga menunjukkan kepada pengunjung bahawa anak-anak murid Orang Asli ini sebenarnya mempunyai minat mendalam terhadap bidang sains dan teknologi,” katanya ketika ditemui di Jelajah AKM Negeri Terengganu, Kompleks Sukan Negeri, di sini, hari ini.
Ismail berkata, SK Sungai Pergam antara 18 sekolah di pantai Timur yang menyertai program Pembelajaran Robotik yang dilaksanakan oleh Yayasan MyKasih (MyKasih) bersama ECERDC.
Dalam pada itu, Guru Besar SK Sungai Pergam Mohd Shafii A.Bakar berkata, pembabitan Siti Raudah Mohd Hairi dan John Lester masing-masing berusia 12 tahun serta Mohd Haziq Hazri Azroi, 10, dapat membuka mata masyarakat bahawa murid sekolah Orang Asli juga mampu bersaing dengan murid sekolah lain.
“Robot yang ditunjukkan anak-anak murid saya ini dipanggil ‘Robot Sasuper’ yang mempunyai ciri-ciri pengintegrasian kepada pelbagai jenis mata pelajaran. Ia dapat meningkatkan kreativiti murid dan membantu mereka lebih memahami satu-satu mata pelajaran,” katanya.
Mohd Shafii berkata, penyertaan sekolahnya dalam program Pembelajaran Robotik sejak 2020 itu membantu meningkatkan kehadiran murid ke sekolah yang teruja untuk melakukan aktiviti berasaskan robotik.
“Sebelum ini (sebelum 2020) kehadiran hanya sekitar 57 peratus namun sekarang kita dapat lihat kehadiran murid mencapai 84 peratus,” katanya.
Sementara itu, Siti Raudah berkata, dia gembira menyertai Jelajah AKM kali ini kerana dapat menunjukkan kemahiran mengendalikan robot di atas pentas yang besar dengan kehadiran penonton yang ramai.
“Saya harap program ini akan dilaksanakan lagi supaya saya dapat berada di atas pentas bersama rakan-rakan,” katanya.