KUALA TERENGGANU – Berbekalkan modal RM10, seorang suri rumah kini menjadi tukang urut berjaya apabila memperoleh berpendapatan lebih RM5,000 sebulan sejak dua tahun lalu.
Che Noor Faezah Mat Nasir, 38, dari Teluk Ketapang, Kuala Nerus tidak menyangka minyak panas berharga RM10 yang dibelinya berjaya mengubah nasib dia sekeluarga.
“Sebelum ini, saya melakukan pelbagai kerja sampingan untuk membantu suami termasuk mengambil upah melipat kain dan mengemas rumah, tetapi paling banyak pun (pendapatan) hanya RM100 sebulan.
“Saya kemudian tekad memohon menyertai program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (Mekar) anjuran Yayasan Petronas pada 2020,” katanya ketika ditemui selepas sijil penghargaan daripada Yayasan Petronas di sini semalam.
Che Noor Faezah memberitahu, guru pembimbing Mekar mencadangkan wanita itu supaya menggunakan kemahiran mengurut yang dipelajari daripada bapanya untuk menjana pendapatan tambahan bagi menampung kehidupan.
Ibu kepada enam anak itu berkata, dia mengikut saranan membeli minyak urut panas di pasar raya di bandar raya ini sebelum memberanikan diri mempromosi perkhidmatan urutan.
“Bermula dengan seorang pelanggan kemudian meningkat kepada 17 orang pada bulan pertama. Ia melepasi sasaran ditetapkan iaitu 10 orang. Sekarang purata pelanggan yang berurut adalah 80 orang sebulan,” katanya.
Perniagaan Che Noor Faezah semakin berkembang selepas wanita itu menghasilkan minyak urut sendiri menggunakan ramuan yang diwarisi daripada bapanya yang juga tukang urut tradisional pada tahun 1990-an.
“Kehidupan kami sekarang jauh lebih selesa dan saya gembira dapat memenuhi keperluan anak-anak,” katanya.