DALAM kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri, jangan kita lupa kepada insan yang kurang bernasib baik.
Di kala ada keluarga yang sibuk bergaya dengan busana baru dan menikmati pelbagai juadah enak, namun ada keluarga yang meraikan hari raya dalam serba kekurangan.
Menyedari situasi ini, Star Media Group (SMG) buat julung-julung kalinya berkolaborasi bersama Putrajaya Holdings (PjH) untuk tampil menyampaikan sumbangan kepada 200 keluarga dari kategori B40 bagi meringankan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri.
Seiring dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, 200 keluarga berkenaan, kesemuanya dari Dengkil, Selangor, menerima sumbangan berupa barangan keperluan dapur bernilai RM200 dan juga duit raya.
Penerima sumbangan dicalonkan oleh Yayasan MyKasih, sebuah pertubuhan amal yang ditubuhkan bagi membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan melalui bantuan makanan dan pendidikan.
Datuk Hashimah dan Lydia turut membantu penerima membeli belah barangan keperluan dapur.
Seramai 10 keluarga daripada 200 keluarga berkenaan terpilih untuk menghadiri program penyerahan sumbangan di samping membeli belah barangan keperluan dapur di Econsave KIP Mall, Kota Warisan, Sepang pada 17 April lalu.
Jelas terpancar senyuman di wajah para penerima yang hadir ditemani ahli keluarga masing-masing ketika melihat troli pasar raya mereka penuh dengan barangan keperluan dapur.
Ketua Pegawai Eksekutif PjH, Datuk Hashimah Hashim turut hadir beramah mesra malah sempat membantu keluarga berkenaan membeli belah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perolehan SMG, Lydia Wang berharap sumbangan yang diberikan dapat membawa seribu makna dan menceriakan keluarga berkenaan ketika menyambut lebaran.
Selain barangan dapur, penerima turut menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Datuk Hashimah.
“Bersempena dengan Hari Raya, kami bersyukur dapat bekerjasama dengan Putrajaya Holdings untuk membawa keceriaan kepada keluarga yang memerlukan.
“Keperluan asas seperti makanan mungkin menjadi barangan mewah buat sesetengah orang. Kami berharap bantuan ini dapat membantu meringankan beban mereka membuat persiapan perayaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, salah seorang penerima sumbangan, Sri Marni Zainal Abidin melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana terpilih mendapat bantuan yang sangat dinanti-nantikan apatah lagi menjelang sambutan Aidilfitri.
Kami berharap bantuan ini dapat membantu meringankan beban mereka membuat persiapan perayaan.
LYDIA WANG
KETUA PEGAWAI PEROLEHAN SMG
“Alhamdulillah sangat-sangat, dapat barang dapur untuk dijadikan keperluan raya. Lagipun dah nak dekat (raya) sangat ni, keperluan itu memang sangat perlu.
“Lebih-lebih lagi dengan status saya sebagai ibu tunggal kepada dua cahaya mata dan masih menerima rawatan untuk penyakit fibroid, bantuan ini boleh meringankan beban kami serba sedikit,” ujar wanita berusia 44 tahun ini yang menetap di Kota Warisan, Sepang.
Sri Marni gembira terpilih sebagai salah seorang penerima sumbangan.
Menurut Sri Marni, dia yang ketika ini tidak dapat bekerja dan perlu berehat atas nasihat doktor, hanya bergantung kepada pendapatan anak sulungnya yang bekerja di sebuah taska.
“Anak kedua pula masih menuntut di sebuah kolej di Subang Jaya. Kalau pasal persiapan raya, kami buat sikit-sikit saja. Saya buat sendiri sedikit kuih sementara duduk-duduk di rumah.
“InsyaAllah, saya merancang untuk membuat kuih dan menjual secara dalam talian kelak untuk jana pendapatan sampingan,” ujarnya.
Seorang lagi penerima, Aisyah Rani Francis turut melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan apatah lagi dirinya berstatus ibu tunggal kepada lima cahaya mata.
“Saya terima barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, Milo, telur dan sebagainya. Alhamdulillah, penganjur juga beri sumbangan duit raya. Gembira sangat dapat sumbangan ini lagi-lagi dah nak raya sebab kami belum pun buat persiapan,” ujarnya.
Aisyah yang merupakan seorang ibu tunggal kepada lima cahaya mata bersyukur kerana turut menerima sumbangan.
Wanita berusia 41 tahun dan merupakan seorang mualaf ini berkata, pendapatan bulanannya sebagai seorang tukang cuci di surau kawasan perumahan di Kota Warisan hanya sebanyak RM900, justeru bantuan yang diberikan sememangnya banyak meringankan beban.
“Dalam masa yang sama saya menanggung empat anak yang masih bersekolah. Saya bersyukur sebab MyKasih membantu memberi sumbangan barang dapur. Alhamdulillah.
“Ini adalah tahun kelima saya meraikan Aidilfitri sebagai mualaf. Sejak memeluk Islam, ramai orang sekeliling yang membantu, surau pun ambil berat, pihak zakat juga bagi bantuan. Alhamdulillah,” ujar wanita berasal dari Tambunan, Sabah ini.