KUALA LUMPUR: Hasrat mengubah nasib diri dan keluarga membolehkan sebanyak 150,000 kuih dibuat dalam tempoh dua minggu menerusi inisiatif Kuih Raya Dari Hati Cadbury Dairy Milk, pada musim perayaan lalu.
Inisiatif itu disertai usahawan wanita kecil-kecilan yang juga penerima bantuan Yayasan MyKasih (MyKasih) dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang dan Seri Pantai, di sini.
Mereka menghasilkan 2,000 botol kuih tat coklat Cadbury tat keju Cadbury dapat menambahkan pendapatan mereka pada musim perayaan dan membawa keceriaan kepada komuniti memerlukan.
Semua kuih dibeli Cadbury Dairy Milk Malaysia itu disalurkan kepada lebih 30 rumah kebajikan dan komuniti kurang berkemampuan menerusi sokongan Food Aid Foundation.
Ketua Pemasaran Malaysia dan Singapura, Mondelēz International, See Mei Sin, berkata kerjasama pihaknya dengan MyKasih menunjukkan kemurahan hati Cadbury Dairy Milk menyokong komuniti tempatan melalui cara yang luar biasa.
Katanya, pihaknya amat kagum dengan wanita hebat yang terbabit dengan inisiatif itu kerana bekerja tanpa lelah untuk menambah pendapatan keluarga.
“Semoga edisi Kuih Raya Dari Hati ini akan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk bekerjasama dan saling membantu,” katanya.
Sejak dilancarkan pada 2021, kempen Kuih Raya Dari Hati memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk berkongsi air tangan sendiri sempena Ramadan dan Aidilfitri lalu.
Awalnya, inisiatif itu bertujuan menyokong gerai kuih kecil ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
“Namun hari ini berkembang dan termasuk inisiatif pembuatan kuih amal ini.
“Kempen ini mengangkat tradisi pemberian kuih Raya dan menjadi acara tahunan yang membudayakan semangat kemurahan hati dan sokongan komuniti,” katanya.
Nur Sharzi Bashar, 41, yang mengetuai pasukan pembuat kuih wanita di PPR Lembah Subang, berkata, dia amat teruja menjadi sebahagian daripada inisiatif itu.
Katanya, dia mula membuat kuih sejak dua tahun lalu kerana ia impiannya dan arwah kakaknya untuk membuka kafe sendiri.
“Dia sentiasa mahukan saya gembira dan berjaya. Jadi, membuat kuih bersama Cadbury Dairy Milk dan MyKasih memberikan saya peluang untuk merealisasikan impian kami.
MyKasih membantu rakyat Malaysia keluar daripada kemiskinan dengan menyokong lebih daripada 750,000 keluarga berpendapatan rendah di Malaysia melalui pelbagai inisiatif.
Selain bantuan makanan dan sokongan pendidikan, MyKasih turut menyediakan latihan kemahiran komuniti dan keusahawanan dengan menawarkan peluang membuat kuih, menjahit dan menghasilkan kraf tangan bagi menjana pendapatan tambahan dan menyara kehidupan mereka.
Inisiatif Kuih Raya Dari Hati tahun ini lanjutan daripada #MDLZPrihatin, kerjasama jangka panjang antara Mondelēz International (Malaysia) dan MyKasih pada Mac 2024 untuk memperkasakan keluarga dan masyarakat terpinggir.
Ia merangkumi rancangan menawarkan bantuan bersasaran merentasi pelbagai keperluan seperti bantuan makanan, pendidikan, pembangunan kemahiran, pemerkasaan wanita dan keusahawanan.