Kempen Sentuhan Ikhlas galak pengguna lebuhraya bayar tol guna kad MyDebit untuk bantu golongan B40

Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR) dengan kerjasama penyedia pembayaran kad MyDebit, Payments Network Malaysia (PayNet) hari ini telah melancarkan kempen Sentuhan Ikhlas, iaitu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di mana setiap pembayaran tol menggunakan kad MyDebit akan memberi peluang untuk membantu keluarga B40 di seluruh Malaysia.

Menurut ALR, pengguna-pengguna yang menggunakan lebuhraya seliaannya iaitu KESAS, LDP, SMART dan SPRINT kini boleh menyumbang dengan mudah di mana-mana 152 lorong tol MyDebit untuk meringankan beban golongan yang memerlukan, di mana dana berkenaan akan disalur menerusi Yayasan MyKasih.

Matlamat akhir inisiatif ini adalah untuk menyumbang sebanyak RM500,000 sekiranya 5 juta transaksi MyDebit berjaya direkodkan di semua plaza tol terlibat dalam masa dua bulan. ALR menyatakan bahawa dana ini akan disampaikan secara berperingkat; RM100,000 selepas 1 juta transaksi dicapai; RM150,000 pada 2.5 juta transaksi dicapai; dan RM250,000 apabila mencapai 5 juta transaksi.

“Setiap transaksi MyDebit di lebuhraya-lebuhraya kami memberi impak keluarga yang memerlukan. Kami berharap inisiatif ini akan memberi sumber inspirasi kepada lebih ramai pengguna untuk bersama-sama kami menyertai kempen Sentuhan Ikhlas ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR, Sazally Bin Saidi.

“Mereka menghargai kerjasama yang dijayakan oleh Amanat Lebuhraya Rakyat dan PayNet untuk menyokong 1,000 keluarga yang layak menerima bantuan makanan dan keperluan. Dengan adanya usaha murni ini, ia dapat melahirkan masyarakat yang penyayang selain dapat membentuk peribadi yang mulia,” kata Yayasan MyKasih pula.

Selain dari menyumbang, inisiatif ini juga adalah bertujuan untuk menggalakkan pembayaran tol menggunakan kad MyDebit, di mana hampir setiap orang di Malaysia mempunyai kad ATM yang mempunyai fungsi MyDebit, dan penggunaannya adalah selamat kerana ia dilindungi dengan penyulitan data peringkat bank dengan sistem pengesanan penipuan, serta lebih mudah digunakan kerana pengguna tidak perlu membuat tambah nilai, kata ALR dalam kenyataan yang dikeluarkan.

“PayNet teruja melihat MyDebit diintegrasikan dalam kehidupan seharian para pemandu, sambil menyumbang kepada komuniti yang kurang berkemampuan. Melalui Sentuhan Ikhlas, setiap transaksi MyDebit membuka peluang untuk kita bersama-sama mencipta impak positif,” kata Pengarah Kanan, Bahagian Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Bin Mainor.