ALR, PayNet galak bayar tol guna MyDebit sambil menyumbang

AMANAT Lebuhraya Rakyat (ALR) dengan kerjasama Payments Network Malaysia (PayNet) menggalakkan pengguna lebuh raya membuat bayaran tol secara MyDebit sambil menyumbang kepada golongan memerlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALR, Sazally Saidi berkata, inisiatif Sentuhan Ikhlas tersebut melibatkan semua lebuh raya kendaliannya iaitu KESAS, LDP, SMART dan SPRINT.

Beliau berkata, kempen itu bermatlamat menyumbang sebanyak RM500,000 kepada Yayasan MyKasih setelah mencapai 5 juta transaksi MyDebit di lebuh raya berkenaan dalam tempoh dua bulan.

“Setiap transaksi MyDebit di lebuhraya-lebuhraya kami memberi impak keluarga yang memerlukan. Kami berharap inisiatif ini akan memberi sumber inspirasi kepada lebih ramai pengguna untuk bersama-sama kami menyertai kempen Sentuhan Ikhlas ini,” katanya sempena pelancaran kempen tersebut, semalam.

Beliau berkata, setiap pembayaran tol MyDebit yang dibuat di keempat-empat lebuh raya itu menyumbang kepada sasaran transaksi yang naba mana setiap kali pengguna membuat transaksi, PayNet akan menyumbang dana kepada Yayasan MyKasih.

Katanya, sumbangan RM500,000 itu akan membantu 1,000 keluarga berpendapatan rendah di Malaysia untuk membeli makanan dan keperluan isi rumah melalui penggunaan MyKad mereka.

Beliau berkata, dana tersebut akan diagihkan secara berperingkat, mengikut pencapaian transaksi MyDebit iaitu RM100,000 selepas 1 juta transaksi dicapai, RM150,000 (2.5 juta transaksi) dan RM250,000 apabila mencapai 5 juta transaksi.

“Dengan menyertai kempen Sentuhan Ikhlas, para pemandu bukan sahaja menyokong tujuan murni tetapi juga mendapat manfaat dengan kaedah pembayaran yang mudah dan selamat dengan menggunakan MyDebit di lebuhraya-lebuhraya ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan, Bahagian Komersial, PayNet Azrul Fakhzan Mainor berkata, PayNet teruja melihat MyDebit diintegrasikan dalam kehidupan seharian para pemandu, sambil menyumbang kepada komuniti yang kurang berkemampuan.

Katanya, melalui Sentuhan Ikhlas, setiap transaksi MyDebit membuka peluang untuk bersama-sama mencipta impak positif. – Edisi 9