KOTA SAMARAHAN:Rata-rata penerima Program Pelaksanaan Live-Run Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Tahun 2025 gembira dengan penggunaan kad pengenalan (MyKad) yang lebih mudah untuk semakan penerimaan akaun kredit itu hari ini.
Abdul Rahman Ali, 58, dari Kampung Mang berkata dia amat berterima kasih dengan bantuan yang telah diberi kerajaan kepadanya dan keluarga.
“Rasanya lebih bersemangat, gembira dan berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang diberikan hari ini,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo hari ini.
Abdul Rahman merupakan salah seorang daripada 35 penerima layak lainnya dari senarai e-Kasih untuk Program Pelaksanaan Live-Run Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Tahun 2025 yang diadakan di Emart Summer Mall.
Permohonan untuk SARA telah dikemukakannya pada 2023 dan seterusnya mendapat mesej daripada WhatsApp semalam memaklumkan dia layak dan diarahkan untuk ke pasar raya Emart untuk melakukan pembelian.
Abdul Rahman mempunyai tanggungan 12 orang di dalam rumahnya dan bekerja sebagai kakitangan awam.
Justeru dia menyokong usaha kerajaan menerusi SARA ditambah pula dengan kos sara hidup untuk membeli barang keperluan harian juga kian meningkat kini.
Sementara itu, Saji Pawi, 55, dan bekerja sebagai pekebun begitu menghargai sumbangan yang berupaya membantu meringankan bebannya untuk menyara keluarga.
“Saya belanja RM180 hari ini dan terpaksa membuat tambahan bayaran sebanyak RM80 tadi,” katanya sambil mensyukuri bantuan yang dihulurkan kerajaan itu.
Isterinya turut membantu keluarga dengan menjual kuih di Kampung Meranek, di sini.
Sementara itu, kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar dalam rekod e-Kasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025, berbanding RM1,200 pada 2024.
Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025.
Mulai April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.
Mekanisme yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lalu, berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Source : Utusan Borneo Online