09 Februari 2025 03:36pm

PENAMPANG – Penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di negeri ini digalakkan untuk mengaplikasikan pembayaran menggunakan MyKad di premis terpilih selepas pelaksanaannya diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebelum ini pelaksanaan di Sabah dan Sarawak diberikan melalui tunai namun sumbangan tersebut mengambil tempoh yang lama untuk diserahkan kepada penerima.
“Beza Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan SARA, STR adalah pemberian sumbangan kerajaan melalui kaedah tunai yang dimasukkan ke dalam akaun penerima, manakala SARA pula fungsinya adalah untuk pembelian barangan keperluan asas.
“Jadi sebelum ini kerana masalah logistik dan isu berkaitan dengan mekanisme maka diberikan tunai juga.
“Tapi Alhamdulillah mulai tahun ini di Sabah dan Sarawak juga menggunakan terminal yang diberikan kepada pasar raya yang terlibat di mana pengguna boleh datang bawa MyKad dan membuat pembayaran selain boleh menyemak berapa baki yang ada,” katanya ketika meninjau Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di salah sebuah pasar raya di sini pada Ahad.
Jelasnya lagi, kaedah digunakan itu sebenarnya lebih mudah dan ia juga diperluaskan bukan sahaja di bandar tetapi juga di daerah lain.
“Pelaksanaannya di semua peringkat di Sabah namun butirannya boleh disemak di laman sesawang Kementerian Kewangan lokasi premis yang menyediakan kaedah SARA ini.
“Saya juga mengalu-alukan premis perniagaan yang ingin menyertai program ini bolehlah memohon kepada Kementerian Kewangan bagi membolehkan rakyat dapat memanfaatkan pembelian barangan keperluan sumbangan kerajaan ini,” katanya.