
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diperluas kepada 5.4 juta penerima, meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 orang sedia ada, bermula 1 April ini.
Malah, penerima yang layak akan memperoleh bantuan SARA hingga RM2,100 secara keseluruhan tahun ini, meningkat 75 peratus berbanding RM1,200 tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bantuan itu akan dikreditkan secara bulanan ke MyKad penerima di seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan.
Katanya, peluasan itu adalah sebahagian daripada peningkatan peruntukan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada RM13 bilion pada tahun ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa jumlah itu adalah yang tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai oleh kerajaan kepada rakyat.
“SARA adalah pendekatan bantuan secara bersasar di mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi, diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
“Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana kaedah itu memastikan golongan sasar menerima manfaat dalam bentuk barangan asas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anwar berkata, 5.4 juta penerima berkenaan termasuk 700,000 penerima SARA sedia ada dalam rekod eKasih yang memperoleh bantuan itu sejak Januari lalu.
Mulai 1 April ini, beliau berkata, mereka akan menerima bantuan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan untuk golongan warga emas tiada pasangan dan RM100 sebulan bagi isi rumah.
“Selain itu, jumlah berkenaan juga terdiri daripada 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada dalam rekod eKasih.
“Bermula 1 April ini, mereka akan menerima bantuan baharu SARA sebanyak RM50 sebulan bagi golongan warga emas tiada pasangan dan RM100 sebulan untuk isi rumah.
“Mulai tahun ini, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan berbanding hanya di negeri Semenanjung pada tahun lalu,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kaedah pelaksanaan seragam itu adalah penambahbaikan daripada tahun lalu, berbanding penyaluran bantuan tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Bawah program SARA, beliau berkata, pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih menggunakan MyKad di kedai runcit berdaftar yang berjumlah lebih 3,500 buah di seluruh negara kini berbanding 700 pada tahun lalu.
“Penerima SARA boleh menggunakan kredit disalurkan itu untuk membeli barangan keperluan asas terpilih bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain barangan makanan asas,” katanya.
Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR, pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my, manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk di https://www.mykasih.com.my.