Sabah catat jumlah penerima tertinggi program SARA

KOTA KINABALU – Sabah mencatatkan jumlah penerima tertinggi bagi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 di bawah inisiatif kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah menangani kos sara hidup khususnya di negeri ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Sabah mencatat seramai 497,815 penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak RM492.64 juta.

Menurutnya, ikhtiar kos sara hidup yang dilaksanakan kerajaan terus diperkukuh menerusi pelbagai strategi dan pendekatan termasuk melalui pemberian bantuan tunai kepada golongan sasar.

“Bermula April ini, kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan SARA kepada 5.4 juta penerima berbanding 700,000 penerima sebelumnya.

“Kadar bantuan bulanan SARA turut dinaikkan kepada sehingga RM200 mengikut kategori berbanding hanya RM100 sebulan sebelum ini dan daripada jumlah keseluruhan penerima, Sabah mencatatkan angka penerima bantuan tertinggi iaitu seramai 497,815 orang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM492,636,150,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jualan Rahmah sempena Bazar Syawal di kawasan tempat letak kenderaan Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, sebagai usaha untuk menambah baik kaedah penyaluran bantuan, kerajaan telah memperkenalkan penggunaan MyKad sebagai medium pembayaran bagi penerima SARA di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Ini merupakan penambahbaikan berbanding tahun lalu yang menggunakan saluran tunai dua kali setahun. Kini, penerima boleh menggunakan kredit yang disalurkan menerusi MyKad untuk membeli keperluan asas di premis terpilih.

“Sebagai permulaan, sebanyak 424 rakan niaga termasuk pasar raya dan kedai runcit terpilih di Sabah akan menyertai program ini.

“Penerima SARA boleh membeli 13 kategori barang keperluan termasuk makanan asas, produk kebersihan diri, ubat-ubatan serta peralatan persekolahan,” jelasnya.

Ujar beliau lagi, kerajaan turut memperkukuhkan langkah menangani kos sara hidup rakyat dengan memperuntukkan RM13 bilion bagi inisiatif SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi tahun 2025, meningkat RM3 bilion berbanding tahun sebelumnya.

“Inisiatif ini diharap dapat memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya di Sabah yang merupakan penerima tertinggi bantuan ini.

“Kerajaan komited untuk memastikan bantuan yang diberikan adalah bersasar, pantas dan fleksibel mengikut keperluan rakyat,” katanya.