SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
21 Jun 2025 01:28pm

GEORGE TOWN – Makanan asas dicatatkan barangan paling banyak dibeli oleh penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di seluruh negara selepas ia dilaksanakan bermula awal tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, antara makanan asas tersebut adalah gula, minyak, beras, tepung dan telur.
“Daripada data yang kita ada, makanan asas adalah pilihan utama penerima SARA di seluruh negara dan ini satu perkembangan positif yang mana, tumpuan kerajaan adalah untuk membantu rakyat dalam keperluan harian mereka.
“Mulai 1 Mei lalu, kerajaan telah menambah baik pelaksanaan program SARA dengan memperluaskan kategori barangan asas yang dibenarkan, termasuk produk kebersihan rumah seperti sabun, serbuk pencuci pakaian, pencuci pinggan mangkuk dan pencuci lantai.
“Penambahan ini adalah hasil maklum balas daripada penerima sendiri. Kini, terdapat 14 kategori barangan yang dibenarkan, termasuk makanan asas, barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan,” katanya.
Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata demikian ketika ditemui pada Program SARA Kementerin Kewangan di Pasar Raya Mydin George Town di sini pada Sabtu.
Dalam program berkenaan, seramai 100 penerima SARA telah hadir yang mana, ia merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Kewangan untuk turun padang dan menyantuni penerima melalui sesi interaksi secara langsung di kawasan bandar.
Sementara itu, penerima SARA, Saleha Ahmad, 76 dari Sungai Dua berkata, dengan bantuan yang diberikan itu, ia sedikit sebanyak meringankan bebannya yang telah kematian suaminya sejak beberapa tahun lalu.
“Makcik tak tahu pun dapat (SARA). Mereka hubungi saya dan meminta datang ke sini untuk ambil bantuan. Makcik pun datang lah bersama jiran kerana (makcik) tiada kenderaan. Tambahan pula makcik tak berapa sihat.
“Dengan sumbangan ini, sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan bulanan. Makcik tiada pendapatan, mengharapkan pencen arwah suami sahaja.
“Terima kasih kerajaan kerana memberi bantuan seperti ini. Kami yang tidak berkemampuan ini, sangat menghargai kerana bantuan ini diberikan setiap bulan, syukur,” katanya.
Sementara itu, jurukimia, Wong Kok Kee,69 dari Gelugor berkata, kehadirannya di pasar raya tersebut adalah mewakili ibunya, Foo Mee Lan, 94 untuk menerima bantuan berkenaan.
“Ibu saya sudah uzur, dia tidak mampu untuk berjalan dan duduk. Jadi saya datang bagi pihak ibu untuk menerima bantuan ini.
“Wang bantuan ini akan saya gunakan untuk membeli keperluan ibu antaranya lampin pakai buang, ubat dan makanan seperti roti,” katanya.