Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Secara MyKad Diperluaskan Ke Sabah dan Sarawak
Isi rumah miskin akan menerima bantuan SARA melalui MyKad sebanyak RM2,100 untuk 2025 berbanding RM1,200 tahun 2024
Kerajaan akan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula 15 Januari 2025 (Rabu) melalui MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar. Bagi tahun 2025, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke negeri Sabah dan Sarawak berbanding hanya di negeri-negeri Semenanjung Malaysia pada tahun 2024.
Kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025, berbanding RM1,200 pada tahun 2024. Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025. Mulai April 2025, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.
Mekanisme yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lalu, berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, berkata SARA merupakan pendekatan bantuan bersasar di mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana mekanisme tersebut memastikan golongan miskin menerima manfaatnya dalam bentuk barang asas termasuk makanan asas.
“Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi MADANI, penyusunan semula kewangan Kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak. Kerajaan MADANI komited menggunakan teknologi digital mutakhir bagi memastikan penyaluran bantuan dilakukan dengan kaedah yang mudah difahami dan digunakan oleh rakyat,” tambah beliau.
Penambahbaikan kepada SARA ini merangkumi sebahagian daripada peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA ke tahap tertinggi dalam sejarah, iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun lalu.
Selain daripada itu, 5.4 juta penerima STR turut akan menerima bantuan tambahan SARA mulai April 2025. Ini terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada dalam rekod eKasih. Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan. Golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan.
Berikut merupakan butiran penyaluran SARA pada tahun 2025:
Kategori Penerima | Bilangan Penerima | Jumlah Kelayakan SARA 2025 | Amaun Bayaran SARA 2025 Mengikut Bulan | |
Januari – Mac 2025 | April – Disember 2025 | |||
Isi Rumah (STR & eKasih) |
0.7 juta | RM2,100 | RM100 | RM200 |
Warga Emas Tiada Pasangan (STR & eKasih) |
RM1,650 | RM100 | RM150 | |
Bujang (STR & eKasih) |
RM600 | RM50 | RM50 | |
Isi Rumah (STR sahaja) |
4.7 juta | RM900 | – | RM100 |
Warga Emas Tiada Pasangan (STR sahaja) |
RM450 | – | RM50 | |
Jumlah | 5.4 juta |
Di bawah program SARA, pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 1,200 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun 2024. Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barang keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada barang makanan asas.
Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR, pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk di https://www.mykasih.com.my mulai 15 Januari 2025.
Kementerian Kewangan ingin menasihati penerima SARA agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk maklumat mengenai program SARA.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
14 Januari 2025